Sekolah Menengah Sungai Udang telah
memulakan sesi persekolahan pada awal April 1981. Sekolah ini didirikan di atas Lot: 721 Mukim Sungai Udang dengan keluasan tanah 15 ekar (5.684 hektar). Kedudukan sekolah ini begitu stategik kerana terletak di persimpangan jalan Sungai Udang - Bertam Ulu dan laluan utama Masjid Tanah, Melaka. Jarak antara Sekolah Menengah Sungai Udang dengan Bandar Melaka dengan 22.4 km. Nama SMKSU diambil sempena nama kawasan ini sendiri iaitu Sungai Udang. Pembinaan sekolah ini sudah lama dirancang memandangkan pertambahan pelajar-pelajar yang tamat darjah enam sekolah rendah persekitaran yang bertindak sebagai feeder dari semasa ke semasa. Sementara sekolah cadangan dalam proses pembinaan, pelajar-pelajar, guru-guru dan pekerja-pekerja menumpang di Sekolah Menengah Sri Tanjong untuk memulakan sesi persekolahan 1980. Apabila kerja-kerja pembinaan selesai, sekolah dipindahkan ke tapak sekarang pada awal bulan April 1981. Pengetua pertama menerajui SMKSU ialah Tn. Hj. Joned b. Mohd. Said. Kompleks baru ini terdiri daripada 2 blok bangunan 2 tingkat, sebuah bengkel, sebuah kantin dan padang. Sementara komposisi bangunan terdiri daripada 3 makmal sains, 2 bilik SRT, sebuah pusat sumber atau perpustakaan, 12 bilik darjah dan sebuah pejabat. Pada awal penubuhan, guru-guru berjumlah 9 orang, kakitangan seramai 5 orang serta bilangan pelajar seramai 95 orang. 4 buah kelas mula dibuka iaitu 2 tingkat satu. Bulan April 1996, SMKSU telah dibekalkan dengan 20 buah komputer oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Komputer tersebut membolehkan SMKSU mempunyai sebuah makmal komputer. Maka bermulalah sesi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan komputer iaitu salah satu komponen IT, ciri pengajaran moden. Pertambahan pelajar yang mendadak disebabkan persekitaran yang berkembang pesat menyebabkan peningkatan kapasiti pelajar yang terpaksa ditampung oleh SMKSU. Pertumbuhan taman-taman perumahan, kawasan perindustrian bebas, pembukaan loji Petronas telah meningkatkan lagi bilangan pelajar. Peningkatan angka ini sukar ditampung oleh fizikal sekolah yang terhad. Akibatnya pada sesi persekolahan 1996, persekolahan dua sesi (pagi dan petang) dijalankan. Untuk mengatasi masalah ini perkembangan fizikal terpaksa dijalankan selari dengan pertumbuhan pelajar. Kebajikan guru-guru juga diambil kira. Sehubungan dengan itu pada tahun 1996, dua buah rumah guru telah dibina bagi mengatasi keperluan penginapan guru. Bermula pada Januari 1997, pembinaan bangunan baru yang melibatkan dua blok tiga tingkat telah dijalankan. Blok baru ini mengandungi 12 bilik darjah, makmal Biologi, Kimia dan Fizik, pusat sumber, bilik tayang, surau dan bengkel kemahiran hidup. Dengan pertambahan bangunan ini menjadikan SMKSU mempunyai asas fizikal yang lengkap sebagai sebuah sekolah menengah dwialiran Sains dan Sastera. Dan pada 23.9.1998 dengan rasminya tamat persekolahan dua sesi. Dewasa ini SMKSU telah menjalani perkembangan pesat dan menjadi kebanggaan penduduk setempat dalam mencorak menjana generasi bagi memenuhi cabaran wawasan 2020. Selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara, SMKSU akan melahirkan insan yang seimbang dari aspek rohani, emosi, mental dan jasmani dalam menangani permasalahan dan keperluan Alaf 21. |
Perhatian: Gunakan menu di sebelah kiri, atau di bawah laman sebagi panduan. |
|